KUCHING: Kementerian Pelancongan akan memperbanyakkan aktiviti dan promosi negeri ini untuk merancakkan sektor pelancongan sempena Tahun Melawat Malaysia dan Sarawak 2014.
Menteri Muda Pelancongan Datuk Talib Zulpilip berkata, antara aktiviti tambahan yang akan diperkenalkan ialah bermukun dan bergendang secara besar-besaran serta tarikan menerusi sambutan perayaan seperti Chap Goh Meh.
“Setakat ini, kita berjaya menarik 4.1 juta pelancong ke Sarawak dan bagi merancakkan lagi sektor pelancongan, kita akan menambah aktiviti dan memperhebatkan promosi negeri ini.
“Dengan itu, kita yakin dapat menarik lebih ramai pelancong ke Sarawak sempena Tahun Melawat Malaysia 2014,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai perancangan kementerian itu bagi merancakkan sektor pelancongan Sarawak pada tahun depan selepas majlis pelancaran pameran gambar kelab fotografi, Que Bah Club di Sarawak Plaza, semalam.
Talib memberitahu, kementeriannya juga giat mempromosikan kebersihan dan kecantikan Sarawak sebagai tarikan pelancong.
“Kalau tempat kita tidak bersih dan tidak cantik, maka orang tidak mahu datang tetapi kalau tempat kita cantik dan bersih, sudah pastinya ia menarik orang untuk datang menikmatinya,” tambahnya.
Menurutnya, satu lagi aktiviti yang dapat menarik orang luar datang ke Sarawak ialah acara memancing di Bintulu yang mendapat sambutan luar biasa.
“Jawatankuasa penganjur di Bintulu sebelum ini mengadakan aktiviti memancing ikan. Oleh kerana sambutannya begitu baik, mereka bercadang untuk menambah jumlah peserta dari negara jiran. Jadi, semua aktiviti ini akan menjadi pendorong pelancong datang ke Sarawak,” katanya.
Pada masa sama, beliau memberitahu penambahan aktiviti dan promosi itu juga mampu meningkatkan kesedaran rakyat terhadap kebudayaan dan kesenian tempatan.
“Selain menarik pelancong datang ke Sarawak, aktiviti-aktiviti ini juga dapat memberi kesedaran kepada rakyat mengenai budaya dan kesenian masyarakat majmuk yang ada di negeri ini,” ujarnya.
Sumber & Foto : www.theborneopost.com , 27 Disember, 2013
No comments:
Post a Comment