Tuesday, 24 December 2013

Tourism Malaysia tingkat usaha pemasaran di Utara India

NEW DELHI 23 Dis. - Tourism Malaysia merancang untuk mempergiatkan usaha pemasaran di utara India dengan kemasukan Malindo Air, yang menawarkan lebih banyak kapasiti tempat duduk bagi laluan New Delhi-Kuala Lumpur, kata Pengarahnya, Amran Abdul Rahman.

Syarikat penerbangan yang berusia sembilan bulan itu akan memulakan laluan New Delhi-KL pada 30 Disember ini menggunakan pesawat Boeing B737-900ER.

"Pada masa ini, hanya Malaysia Airlines (MAS) yang memberi perkhidmatan laluan itu. Walaupun ada permintaan, jumlah tempat duduknya terhad," katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Setelah Malindo Air mula beroperasi, akan terdapat tambahan 1,260 tempat duduk seminggu, katanya.

"Dengan MAS menawarkan 4,720 tempat duduk setiap minggu, tambahan ini akan memberikan sejumlah 23,920 tempat duduk sebulan, yang akan membolehkan kami memperluaskan usaha pemasaran kami ke bandar peringkat kedua dan ketiga di utara India," kata Amran.

Tourism Malaysia, katanya, merancang untuk memperkenalkan negara di timur laut India serta Jammu-Kashmir.

"Langkah Malindo ini merupakan petanda yang baik dengan Tahun Melawat Malaysia 2014. Oleh itu, kami merancang untuk mengadakan pameran bergerak di negeri-negeri timur Laut seperti Manipur dan juga Jammu-Kashmir," kata beliau.

Malah, ejen pelancongan di wilayah utara sudah memulakan promosi dan pengiklanan mengenai Malindo Air kepada pelanggan mereka.

Semasa ditanya sama ada Malindo Air akan dapat mengekalkan laluan dalam keadaan kos operasi yang tinggi, beliau berkata, perkara ini tidak akan menjadi isu kerana permintaan trafik amat besar.

Sumber :

Utusan Malaysia, 24 Disember 2013

No comments:

Post a Comment