Friday 27 December 2013

Industri Penerbangan Dijangka Kurang Tempuhi Gelora Pada 2014

For English Version : http://senangtravel.blogspot.com/2013/12/aviation-industry-to-fly-through-2014.html

Oleh Mohd Iswandi Kasan Anuar

KUALA LUMPUR, 27 Dis (Bernama) -- Industri penerbangan tempatan bersedia untuk 'terbang tinggi' tahun depan, dengan prospek pertumbuhan yang besar, selepas melalui beberapa 'pergolakan' kecil tahun ini.

Syarikat penerbangan tempatan boleh menjadikan 2014 satu tahun untuk dikenang dengan Malaysia Airlines, AirAsia dan Malindo, bersedia untuk bersaing memenangi hati pelanggan.

Malaysia Airlines akan menggantikan pesawat lama untuk memberi laluan kepada ketibaan kapal terbang baharu untuk membantu meningkatkan lagi penawaran produk.

Syarikat penerbangan negara itu akan menggunakan kapasiti tambahan untuk meningkatkan kekerapan bagi memenuhi permintaan penumpang dan terbang ke destinasi baharu.

Model perniagaannya yang kukuh termasuk pemasaran dan promosi yang agresif, pengurusan kapasiti yang lebih baik, mengoptimumkan penggunaan aset dan memacu produktiviti.

Sementara itu, pertumbuhan positif syarikat penerbangan tambang rendah AirAsia, bakal diteruskan pada tahun baharu ini manakala syarikat penerbangan jarak jauhnya, AirAsia X, agresif memperluaskan kapasitinya dari semasa ke semasa.

Kumpulan itu telah membuat tempahan terbesar dengan Airbus bagi tambahan 25 pesawat A330-300 bernilai AS$6 bilion.

Pesawat baharu itu akan membolehkan syarikat penerbangan berkenaan menawarkan perkhidmatan tanpa henti ke destinasi di Eropah atau perkhidmatan sehenti ke Amerika Syarikat.

Syarikat penerbangan hibrid yang berpangkalan di Malaysia, Malindo Air, akan melebarkan sayapnya di India dengan menambah enam lagi destinasi menjelang akhir tahun depan.

Syarikat itu akan memulakan sektor Kuala Lumpur-New Delhi pada akhir bulan ini, diikuti dengan Trichy, Tamil Nadu, pada 2 Jan 2014 dan Mumbai, Maharashtra, pada 15 Feb, 2014.

Kerajaan juga berjanji untuk mengubah Malaysia menjadi hab penerbangan serantau yang akan mempunyai kesan pengganda ke atas ekonomi.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semasa membentangkan bajet 2014 dengan janji untuk menggubal satu Dasar Penerbangan Nasional, bertujuan untuk mengukuhkan ekosistem dan rangkaian perkhidmatan dalam industri penerbangan.

Tahun 2014 juga akan menyambut Tahun Melawat Malaysia, sambutan pelancongan terbesar dan terhebat di negara dengan sasaran untuk menarik 28 juta ketibaan pelancong antarabangsa.

Program ini akan memberikan petanda yang baik untuk sektor penerbangan secara keseluruhan termasuk pengendali lapangan terbang, Malaysia Airports Holdings Bhd, kerana akan meningkatkan ketibaan penumpang.

Institut Penyelidikan RHB menjangkakan persaingan antara AirAsia dan Malaysia Airlines kekal mencabar tetapi kurang teruk.

"Bagaimanapun, Malindo akan kurang agresif disebabkan struktur kos yang tinggi," kata penganalisis Ahmad Maghfur Usman.

Beliau berkata ini juga memberi manfaat kepada kedua-dua syarikat penerbangan tempatan, AirAsia dan Malaysia Airlines, jika mereka menetapkan strategi dengan betul dalam memaksimumkan hasil dan jumlah muatan.

"Persaingan sengit telah menyebabkan syarikat penerbangan menarik penumpang dengan diskaun yang banyak, yang akan membantu meningkatkan permintaan bagi perjalanan udara," kata beliau, sambil menambah bahawa ini akan memberi manfaat kepada Malaysia Airports.

Terminal penerbangan tambang rendah yang baharu, KLIA2 yang dijadualkan siap pada 2 Mei, juga akan memberi rangsangan besar kepada industri.

Ahmad Maghfur berkata harga bahan api jet yang tinggi, kadar pertukaran yang tidak menentu dan persaingan sengit adalah antara faktor yang menjejaskan pendapatan syarikat penerbangan pada tahun ini.

Kedudukan AirAsia dan Malaysia Airlines berhubung denda, yang dikenakan oleh Suruhanjaya Persaingan Malaysia pada September kerana didakwa melanggar undang-undang persaingan, mungkin diketahui pada Januari ini.

Pada 6 September 2013, suruhanjaya itu mengumumkan bahawa syarikat penerbangan berkenaan akan dikenakan denda sehingga RM10 juta setiap satu kerana melanggar Seksyen 4 (2)(b) Akta Persaingan 2010 setelah memeterai satu perjanjian yang menyaksikan kedua-dua syarikat penerbangan itu berkongsi pasaran di Malaysia.



-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment