Monday, 16 December 2013

Pelancong asing mahu terbang terus ke Langkawi

Berikut ialah artikel semalam (15 Dec 2013) berkenaan ketiadaan penerbangan antarabangsa terus ke Langkawi.

Isu ketiadaan penerbangan terus berjadual dari negara luar ke Langkawi perlu diatasi bagi menjadikan pulau peranginan itu sebagai antara destinasi pelancongan utama dunia.


   
Jika dibandingkan dengan pulau-pulau di selatan Thailand dan Pulau Bali di Indonesia, ramai pelancong asing mengakui Langkawi lebih baik tetapi mereka memilih untuk melancong ke Bali atau pulau-pulau di Thailand kerana adanya penerbangan terus dari negara mereka.  
  
Ketika ini penerbangan terus dari negara luar ke Langkawi hanyalah dari Singapura.
  
Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Langkawi (Lada), Tan Sri Khalid Ramli berkata, pihaknya telah berbincang dengan banyak pihak seperti Malaysia Airlines (MAS), Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) dan kerajaan tentang pentingnya penerbangan terus berjadual kepada industri pelancongan di Langkawi.
  
[ http://www.lada.gov.my/v2/ ]

 "Ketika ini hanya ada penerbangan sewa khas. Banyak pelancong asing mahukan penerbangan terus. Saya pergi ke Korea, mereka di sana memang mahu ke Langkawi tetapi mahukan penerbangan terus.  

"Tahun lepas MAS buat tiga penerbangan sewa khas (dari Korea), semua penuh. Kesalinghubungan ini penting. Tahun ini ada 32 penerbangan sewa khas tetapi yang kita mahukan penerbangan berjadual," katanya kepada pemberita semasa Program Kembara Riadah Lada Bersama Media 2013 di sini baru-baru ini.
  
Katanya selain itu, pintu masuk ke Langkawi melalui Jeti Kuah juga akan dinaik taraf bagi memastikan perkhidmatan feri dapat dilakukan dengan lebih baik untuk menampung kehadiran pelancong yang lebih ramai.
  
Beliau berkata bagi memastikan kehadiran pelancong ke Langkawi terus meningkat, jumlah bilik penginapan dan hotel perlu dipertingkatkan kerana ketika ini hanya ada kira-kira 8,000 bilik penginapan.
  
"Kita nak banyakkan bilik..untuk mewujudkan penawaran dan permintaan. Kita juga nak banyakkan hotel empat bintang, lima bintang. Banyak yang cakap nak datang Langkawi tetapi bilik penuh (pada musim kemuncak). Bali pun ada 50,000 bilik, bilik sentiasa ada untuk pelancong," katanya.
  
Sementara itu, Khalid berkata walaupun Langkawi mempunyai kemudahan infrastruktur yang baik untuk pelancong, aspek perkhidmatan dan pengalaman buat pelancong juga perlu ditekankan jika mahu mencapai sasaran Pelan Tindakan Pelancongan Langkawi (2011-2015) untuk menjadikan Langkawi antara destinasi pelancongan utama di dunia.
  
"Kalau lihat di sini (Koh Lipe), jeti tak ada...sedangkan punya banyak kapal dan bot. Pelancong terpaksa harung sendiri air untuk ke chalet. Sebenarnya ini yang dikehendaki pelancong. Ini semua kenangan untuk pelancong," katanya.

- Bernama

Sumber : Sinar Harian http://www.sinarharian.com.my/nasional/pelancong-asing-mahu-terbang-terus-ke-langkawi-1.230887

No comments:

Post a Comment