Monday, 30 December 2013
Kanak-kanak koma jatuh roda berpusing di Pesta Pulau Pinang
PULAU PINANG 29 Dis. - Seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun dikejarkan ke Hospital Pulau Pinang (HPP) selepas dipercayai terjatuh daripada permainan 'roda berpusing' di tapak Pesta Pulau Pinang, Sungai Nibong, di sini tengah malam semalam.
Dalam kejadian pukul 12.50 tengah malam itu, mangsa Mohamad Khairul Naimme Abu Kassim dipercayai terjatuh ketika menaiki Euro Wheel sebelum ditemukan oleh ayahnya yang merupakan peniaga di tapak pesta tersebut dalam keadaan pengsan dan dikerumuni orang ramai.
Difahamkan, selepas kejadian itu mangsa terus dibawa ke HPP dan dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) serta masih tidak sedarkan diri ekoran kecederaan serius yang dialami.
Salah seorang ahli keluarga mangsa yang enggan dikenali berkata, mangsa bersama adik beradik yang lain sememangnya berada di tapak pesta menemani ayahnya yang berniaga sejak pesta bermula.
"Sebaik sahaja menyedari Mohamad Khairul Naimme tidak kelihatan di tapak gerai, kami sekeluarga mencarinya dan terkejut apabila menemuinya yang telah rebah berhampiran roda berpusing itu.
"Saya kesal dengan kejadian ini dan mahukan pihak pengurusan pesta memberi penjelasan sewajarnya mengenai kejadian yang berlaku," katanya ketika ditemui di Unit Rawatan Rapi (ICU) HPP, di sini hari ini.
Tambahnya, perbincangan bersama pihak pengurusan pesta akan diadakan dan dia amat berharap pihak berkenaan akan bertanggungjawab dengan apa yang telah berlaku.
"Saya tidak tahu bagaimana perkara ini terjadi, dari ketinggian mana mangsa jatuh kerana apabila ditanya kepada pekerja di tapak pesta terbabit, mereka tidak dapat memberikan jawapan, malah mengatakan tidak sedar bagaimana mangsa boleh terjatuh," ujarnya.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Timur Laut, Suprintendan Ismail Idris yang dihubungi mengesahkan kejadian itu dan memberitahu siasatan lanjut sedang dijalankan.
"Kita sudah arahkan supaya permainan berkenaan ditutup kepada orang ramai sehingga siasatan selesai dan punca kanak-kanak itu terjatuh akan disiasat dari semua sudut," katanya.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20131230/dn_06/Kanak-kanak-koma-jatuh-roda-berpusing#ixzz2oxCfl6yz
Sumber : Utusan Malaysia, 30 Disember 2013
Photo : The Star Online
Lain-lain :
Sinar Harian , http://www.sinarharian.com.my/semasa/kanak-kanak-koma-terjatuh-dari-roda-berpusing-1.235271
NST , http://www.nst.com.my/nation/general/boy-found-in-coma-near-ferris-wheel-1.450354
The Star , http://www.thestar.com.my/News/Nation/2013/12/30/Boy-falls-from-Ferris-wheel-Sixyearold-in-a-coma-after-unsupervised-ride/
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment