Sunday, 1 December 2013
500 Peserta 4x4 Dari 30 Buah Negara Sertai Terengganu Rainforest Challenge (RFC)
KUALA TERENGGANU, 1 Dis (Bernama) Seramai 350 peserta pacuan empat roda dari 30 buah Negara menyahut cabaran Terengganu Rainforest Challenge 2013 selama 10 hari bermula esok.
Acara pelepasan dilakukan di Pulau Warisan dengan para peserta seterusnya akan berkonvoi ke Gong Chempedak untuk aksi prologue.
Program kali kelima anjuran kerajaan negeri ini turut disertai 50 wakil media dari 13 buah negara.
Antara negara yang mengambil bahagian ialah Singapura, Australia, Sepanyol, Britain, Belanda, China, Rusia serta Colombia.
"Acara kali ini merupakan pengembaraan yang terpanjang dan paling sukar di dunia kerana cabaran kali ini diadakan pada musim tengkujuh dan peserta akan menempuhi cuaca yang tidak menentu serta hujan dan ia menjadikan pengembaraan ini pasti lebih sulit dan mencabar," kata Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Komunikasi dan Multimedia Negeri, Datuk Mohd Jidin Shafee.
Rainforest Challenge sebelum ini turut dianjur beberapa negeri dan Terengganu pernah menganjurkannya pada 2005, 2007, 2008 dan 2011.
Para peserta antara lain akan meredah Hutan Simpan Mercang, Hulu Dungun; Bandar Al Muktafi Billah Shah, Hulu Kemaman dan tamat di Kuala Terengganu pada 9 Dis.
Mohd Jidin berkata program itu dapat membantu kerajaan negeri memperkenalkan destinasi pelancongan Terengganu ke luar negara melalui liputan media luar.
Penganjuran sukan lasak, (RFC) 2013 memberi impak besar kepada ekonomi Terengganu khususnya sektor pelancongan di negeri tersebut.
Datuk Mohd Jidin Shafee berkata penganjuran acara sebegini mampu memberi
perkembangan positif kewangan negeri termasuk dari segi perbelanjaan gandaan
peserta.
"Antara gandaan perbelanjaan yang dimaksudkan ialah perbelanjaan penginapan, makan minum, petrol, alat gantian & aksesori kenderaan 4x4. "Selain itu barangan cenderamata yang dibeli peserta seperti pembelian kraf dan lain-lain perbelanjaan akan diperolehi secara terus oleh rakyat," katanya
kepada pemberita selepas majlis pelepasan peserta RFC di Pulau Warisan.
Sumber : BERNAMA
Sumber Gambar : www.arenakereta.com
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment