KUALA LUMPUR, 1 Dis (Bernama) -- Akses pengangkutan awam seperti Transit Aliran Ringan (LRT), bas, dan teksi yang mudah dan efisien menjadi antara tarikan pelancong untuk membeli-belah di ibu negara.
Bukan itu sahaja, kepelbagaian pilihan, nilai, promosi dan harga ditawarkan pusat beli-belah atau butik terkemuka melalui jualan akhir tahun turut memenuhi citarasa dan bajet masing-masing.
Tinjauan Bernama di Kuala Lumpur mendapati pusat beli-belah di ibu kota kosmopolitan yang berada pada kedudukan keempat dalam rancangan Top 10 Best Shopping Cities in the World CNN, kini sudah mula dibanjiri pelancong dari luar negara, tidak ketinggalan penduduk tempatan yang mahu mengisi masa cuti sekolah untuk membeli-belah bersama keluarga.
Seorang pelancong dari Indonesia, Naria Agustina, 30, berkata beliau memilih untuk melancong dan membeli-belah di Malaysia disebabkan akses pengangkutan awam adalah mudah.
"Di Malaysia capaian akses pengangkutan awam seperti teksi, LRT, dan bas sangat senang. Ia memudahkan orang ramai untuk ke pusat membeli-belah," katanya ketika ditemui Bernama di sini.
Naria yang berasal dari Jakarta berkata harga yang ditawarkan pusat beli-belah atau butik di sekitar ibu kota juga berpatutan, selain mudah baginya untuk mendapatkan makanan halal.
Seorang lagi pelancong dari Indonesia Sandra Marianda, 27, berkata kemudahan lain seperti laluan pejalan kaki dari Suria KLCC ke Pavilion turut memberi keselesaan kepadanya sebagai pelancong untuk membeli-belah di sini.
"Kita juga boleh menggunakan laluan pejalan kaki yang disediakan, jadi mudah ya," kata pelancong dari Bandung ini.
Bagi Jill Oomen, 38, dari Belanda, jangkaan pertamanya mengenai Malaysia khususnya Kuala Lumpur yang tidak teratur, ternyata meleset kerana baginya Kuala Lumpur adalah sebuah bandar raya yang sangat teratur, cantik dan bersih.
"Saya tidak pernah datang ke Kuala Lumpur sebelum ini...jadi saya mahu melawat bandaraya ini dan pastinya Menara Berkembar (KLCC)...ia tempat yang indah dan menarik, orang di sini juga baik-baik, ia amat bersih dan teratur. Ia jauh berbeza daripada apa yang saya fikirkan sebelum datang ke Malaysia...ia amat teratur," katanya.
Oomen, yang sudah berkunjung ke Pasar Seni turut mengakui bahawa ia adalah satu daripada tempat membeli-belah menyeronokkan kerana terdapat pelbagai pilihan barangan kraf untuk cenderahati yang boleh didapati di situ.
Sempena Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2014, kerajaan menyasarkan 28 juta ketibaan pelancong antarabangsa dengan perbelanjaan pelancong sebanyak RM76 bilion bagi merancakkan sektor pelancongan di negara ini.
Sementara itu, warga tempatan yang ditemui turut menjadikan musim cuti sekolah ini sebagai waktu terbaik untuk membeli-belah, selain merapatkan hubungan antara keluarga.
Seorang guru Badri Abu Bakar, 47, berkata beliau mengambil kesempatan bersama keluarga untuk membeli-belah semasa cuti sekolah ini memandangkan pelbagai jualan murah dan promosi ditawarkan pusat beli-belah.
"Inilah masa sesuai yang saya selalu gunakan untuk membawa keluarga membeli-belah terutama untuk persiapan persekolahan anak-anak untuk tahun depan," katanya.
Syarah Najwa Mohd Aris, 23, pelajar sebuah institut pengajian tinggi awam berkata orang ramai masih tetap mengambil peluang untuk membeli-belah semasa cuti persekolahan walaupun mengetahui pusat beli-belah sering sesak dalam tempoh tersebut.
"Selalu hujung tahun banyak jualan murah. Masing-masing nak manfaatkan peluang (potongan harga) ini untuk membeli-belah," katanya.
Sumber : oleh Rohana Nasrah, BERNAMA
No comments:
Post a Comment