Kuala Lumpur: Pelbagai program dan acara disusun bagi meraikan kehadiran pelancong asing ke negara ini menerusi 37 pintu masuk mulai semalam, sebagai pembuka tirai Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2014.
TMM 2014 menyasarkan kedatangan 28 juta pelancong asing dengan sasaran pulangan RM76 billion.
Rekod baru itu dilihat mampu direalisasi berdasarkan keunikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan terkemuka dunia, yang terkenal dengan kepelbagaian budaya, etnik, sejarah, makanan dan gedung beli-belah.
Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Ahmad Phesal Talib, berkata sasaran 15 juta pelancong asing dan domestik ke ibu kota sempena TMM 2014, mampu dicapai meskipun sambutan ambang tahun baharu dicemari himpunan haram didalangi pihak tertentu.
Produk pelancongan baru
“Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan memperkenalkan produk dan perkhidmatan pelancongan baru pada suku pertama 2014, selain penganjuran acara ‘signature’ bulanan untuk menarik minat pelancong,” katanya selepas melancarkan Kalendar Acara dan Festival 2014, di Stesen Sentral Kuala Lumpur, semalam.
Di Kota Kinabalu, Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah yakin jumlah pelancong mampu mencapai sasaran 3.4 juta, di sebalik insiden pencerobohan pengganas di Lahad Datu, tahun lalu.
Menterinya, Datuk Masidi Manjun, berkata pelbagai program dirangka untuk mencapai sasaran itu termasuk memberi tumpuan kepada usaha menarik lebih ramai pelancong Jepun dan Eropah menerusi pembukaan laluan penerbangan terus dan promosi di negara terbabit.
Di Negeri Sembilan, pembuka tirai TMM 2014 menyajikan kelainan apabila Persatuan Bola Sepak Port Dickson dan Majlis Perbandaran Port Dickson menganjurkan kejohanan bola sepak pantai sepanjang malam di Pantai Saujana, Batu 4, Port Dickson, malam kelmarin.
Kejohanan disifatkan unik itu berlangsung dari detik tengah malam sehingga jam 9 pagi yang membabitkan 72 pasukan dan menarik minat lebih 2,000 peserta serta orang ramai.
Tarikan utama pelancong
Di Kuantan, Festival Muzik Antarabangsa Kuantan yang setaraf dengan Borneo Rainforest Music Festival di Sarawak, bakal menjadi daya penarik utama kedatangan pelancong ke negeri itu.
Sempena pelancaran TMM 2014 semalam, 110 pelancong yang menaiki Penerbangan Malaysia (MAS) dari Kuala Lumpur dan pesawat Firefly dari Singapura, diraikan dengan persembahan kebudayaan di Lapangan Terbang Sultan Ahmad Shah (LTSAS).
Di Kuching, Menteri Muda Pelancongan negeri, Datuk Talip Zulpilip, mengedarkan brosur pakej Inap Desa Rumah Panjang sebagai tarikan pelancong yang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK).
Inisiatif di bawah Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) itu dilancarkan untuk membangunkan aktiviti pelancongan berasaskan penduduk setempat selain meningkatkan sosio ekonomi masyarakat rumah panjang termasuk Iban, Bidayuh dan Orang Ulu.
Teruja sambutan diberi
Di Langkawi, seramai 150 pelancong dari pelbagai negara termasuk United Kingdom, Scandinavia, Itali, Finland, Sweden, Denmark dan Norway, yang tiba menerusi penerbangan komersial dari Singapura, semalam, menyuarakan hasrat untuk mengunjungi negara ini buat kali kedua.
Mereka yang rata-ratanya pertama kali menjejak kaki ke negara ini, khususnya Langkawi jam 12.15 tengah hari semalam, teruja dengan sambutan meriah yang diterima sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi (LTAL).
Di Kuala Terengganu, kedatangan TMM14 diraikan pengurusan FELDA Residence, dengan mengagihkan cenderahati kepada pengguna jalan raya di hadapan hotel itu.
Di Melaka, ketibaan 250 pelancong yang menaiki feri dari Dumai, Indonesia ke negeri itu disambut meriah sebagai simbolik bermulanya TMM2014 sejurus tiba di jeti Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Kota Melaka di Sungai Melaka.
Sumber : Berita Harian, 2 Jan 2014
No comments:
Post a Comment