Sunday 5 January 2014

MAS, AirAsia bakal terjejas?

KUALA LUMPUR 3 Jan. - Malaysia Airlines (MAS) dan AirAsia masing-masing dijangka kehilangan tujuh dan lapan peratus penguasaan pasaran bagi laluan Kuala Lumpur-India kepada syarikat penerbangan baharu, Malindo Air bermula akhir Mac depan.

Menurut laporan oleh Pusat Penerbangan Asia Pasifik (CAPA) hari ini, keadaan itu dijangka berlaku apabila Malindo Air memulakan operasi sebanyak 23 penerbangan seminggu bagi laluan tersebut.
Sejumlah 23 penerbangan seminggu itu menyamai kapasiti 4,140 tempat duduk bagi laluan sehala Kuala Lumpur-India atau 15 peratus daripada keseluruhan tempat duduk yang disediakan oleh pelbagai syarikat penerbangan.

Lebih buruk lagi kepada MAS, Malindo Air telah mendapat kebenaran yang diperuntukan kepada syarikat Malaysia, untuk laluan ke Delhi dan Mumbai, sekali gus memecahkan monopoli MAS yang menyediakan laluan ke dua destinasi tersebut sejak awal 2012.

Laporan itu menyebut, sehingga akhir 2013, MAS menguasai 53 peratus pasaran dan dijangka merosot kepada 46 peratus, manakala penguasaan AirAsia menurun daripada 43 peratus kepada 35 peratus.

Kedua-dua syarikat penerbangan itu ketika ini menawarkan 66 penerbangan seminggu dan 56 penerbangan seminggu dari Kuala Lumpur-India meliputi enam destinasi di negara Asia Selatan tersebut.

Langkah terbaharu Malindo Air itu sedikit sebanyak menjejaskan perancangan perniagaan MAS dan AirAsia memandangkan sejak dua tahun lalu, kedua-dua syarikat itu meningkatkan kapasiti penerbangan ke India antara 45 peratus hingga 50 peratus.

Bagaimanapun, menurut laporan itu lagi, AirAsia dijangka tidak menerima kesan seburuk MAS memandangkan syarikat itu telah memperkenalkan AirAsia India yang menyediakan penerbangan domestik di seluruh India.

Hal itu dapat membantu kedudukan syarikat penerbangan tambang murah itu menerusi pakej yang lebih baik kepada pengguna yang menggunakan Kuala Lumpur-India dan seterusnya perkhidmatan domestic.

Sumber : Utusan Malaysia, 5 Jan 2014

No comments:

Post a Comment