Wednesday 1 January 2014

Hari pertama TMM 2014, lebih 3,500 pelancong tiba

PELABUHAN KLANG - Sekumpulan 3,571 pelancong asing yang menaiki kapal pelancongan Mariner of The Seas tiba di Port Klang Cruise Centre, di Pulau Indah, di sini hari ini.
   
Ketibaan mereka pada hari pertama Tahun Melawat Malaysia 2014 itu disambut meriah dengan persembahan tarian tradisional oleh Persatuan Kebudayaan Seri Pekan dan pertunjukan silat daripada Tourism Selangor Sdn Bhd.
   
Pengarah Bahagian Pembangunan Industri Tourism Malaysia, Saidi Bundan yang mengetuai sambutan itu memberitahu pemberita Pelabuhan Klang merupakan persinggahan pertama kapal mewah dari Singapura itu di negara ini sebelum meneruskan pelayaran ke Pulau Pinang esok dan seterusnya ke Langkawi.
   
Bagi aktiviti pada hari ini para pelancong yang datang dari Eropah, Afrika, Hong Kong, Jepun itu akan dibawa bersiar-siar, membeli-belah dan menikmati makanan tempatan di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor, katanya.
   
"Kita berharap ini akan menjadi titik tolak untuk peningkatan jumlah pelancong ke negara ini sempena Visit Malaysia Year (Tahun Melawat Malaysia) 2014," katanya.
   
Menurut kenyataan media Tourism Malaysia jumlah ketibaan kapal pelancongan di negara ini meningkat daripada 287 pada 2010 kepada 338 pada 2012.

Untuk tempoh Januari hingga Oktober tahun lepas jumlah ketibaan kapal pelancongan yang singgah di negara ini ialah 352. - Bernama

Sumber : Sinar Harian, 1 Jan 2014

No comments:

Post a Comment