Friday, 27 September 2013

Pelancong Arab tak terjejas krisis Timur Tengah

KUALA LUMPUR - Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata, kedatangan pelancong Arab ke Malaysia pada tahun ini tidak akan terjejas sekalipun ada konflik di rantau itu.

Ini kerana katanya, setakat ini tidak ada petunjuk yang menandakan akan berlaku penurunan ketibaan pelawat dari tanah Arab terbabit.

"Pada bulan Jun dan Julai lepas memang berlaku penurunan tetapi ketika itu bulan puasa. Kita jangka angka ini kembali meningkat bulan ini kerana musim panas sudah bermula di sana," katanya kepada pemberita hari ini.

Beliau sebelum itu merasmikan 'KL Tower International Jump Malaysia 2013', di Menara KL di sini yang menarik penyertaan 105 penerjun dari 20 negara.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Menara KL Datuk Zuraidah Mohd Said berkata acara tahun ini dibuka kepada peminat sukan ekstrem untuk melihat lebih dekat persiapan peserta.

Untuk menyaksikannya dari dekat, peminat boleh membeli tiket berharga RM150 atau RM300 yang turut meliputi makan dan minum di restoran di Menara KL ini, katanya kepada pemberita.

Acara selama tiga hari itu akan bermula Sabtu ini dengan terjunan dilakukan dalam dua sesi iaitu dari 9 pagi hingga 4 petang dan dari 8 hingga 10 malam.

Seorang peserta Perancis, Frederic Yves Fugen memberitahu pemberita ini kali ketiga beliau menyertai acara itu.

"Acara ini seronok...kerana itu saya datang kembali. Di negara saya kami hanya terjun dari gunung dan cenuram, kami tidak dibenar terjun dari bangunan, sebab itu kami datang ke sini," katanya.

Penerjun Rusia, Vadim Petrov pula berkata sukan 'base jump' tidak memerlukan perbelanjaan yang besar kecuali jika ingin melakukan terjunan di luar negara.

"Saya bekerja di firma pengiklanan, jadi saya tahu bagaimana nak cari penaja. Hanya tiket penerbangan saja yang mahal kerana di Menara KL ini saya cuma dikenakan bayaran RM10 untuk setiap terjunan, jadi saya boleh terjun banyak kali," katanya. - Bernama

Photo source : www.rileks.com

No comments:

Post a Comment