Saturday 28 September 2013

Travel ke Istanbul




KAPAL persiaran di Selat Bosphorus memberi peluang kepada pelancong yang ingin menikmati keindahan selat yang memisahkan benua Eropah dan Asia.




NAPOLEON BONAPARTE, pencetus revolusi Perancis, pernah berkata, jika dunia ini ialah sebuah negara, maka Istanbul ibu kotanya.
Keagungan kota Istanbul bukan hanya terletak pada nama semata-mata, namun pada sejarahnya yang melewati hampir 16 abad.
Hakikatnya, kota itu yang dahulunya dikenali sebagai Constantinople pernah menjadi pusat pemerintahan bagi Empayar Roman, Byzantine, Latin dan Uthmaniah, selain menjadi punca pertumpahan darah kerana kedudukannya yang strategik.
Sejarah pendudukan pelbagai empayar menjadikannya sebuah kota yang kaya dengan budaya tersendiri dan hasil seni bina klasik yang masih utuh sehingga ke hari ini.
Ini sekali gus menjadi daya tarikan bagi mereka yang ingin ke bandar raya itu. Penulis yang baru-baru ini ke Istanbul atas tujuan kerja turut terpegun dengan keindahan yang disajikan Bandar Dua Benua ini.
Keletihan berada dalam pesawat selama 11 jam dari Kuala Lumpur seakan-akan hilang tatkala melihat panorama malam Istanbul yang disirami dengan rangkaian cahaya berwarna-warni dari tingkap pesawat sejurus sebelum mendarat di Lapangan Terbang Ataturk.
Penulis tiba pada pertengahan bulan Ogos lalu, ketika Istanbul masih lagi mengalami musim panas. Dengan suhu antara 23 hingga 30 darjah Celsius, ia merupakan waktu paling sesuai untuk meneroka kota raya itu.
Mercu tanda
Lawatan pertama penulis di sini adalah ke Masjid Sultan Ahmet atau lebih dikenali dengan nama Masjid Biru. Dibina antara tahun 1609 hingga 1616, gelaran Masjid Biru diberikan kerana jubin biru menghiasi dinding di bahagian dalam masjid.
Menurut penduduk tempatan, masjid itu dibina oleh Sultan Ahmed I kerana dipercayai untuk menandingi kompleks Hagia Sophia yang dibina oleh penakluk Kristian pada 537 Masihi.
Masjid yang berkapasiti hampir 10,000 orang itu juga merupakan salah satu daripada tarikan utama pelancong ke Istanbul. Ia pernah menerima kunjungan hormat dari Paus Benedict XVI pada tahun 2006.



PEMANDANGAN pada waktu petang di Taman Gezi dan Dataran Taksim.




Lebih kurang 500 meter berhadapan Masjid Sultan Ahmet tersergam indah bangunan Hagia Sophia. Berdiri teguh sejak 1,500 tahun yang lalu, bangunan itu merupakan simbol keagungan Empayar Byzantine sebelum Istanbul ditawan tentera Uthmaniyah pimpinan Sultan Mehmet II, satu figura kebanggaan rakyat Turki.
Bermula sebagai sebuah gereja, Hagia Sophia kemudian ditukar menjadi masjid oleh Sultan Mehmet II sebelum menjadi sebuah muzium oleh pengasas Republik Turki, Mustafa Kamal Ataturk.
Dengan tiket masuk berharga TRY25 (RM40), para pengunjung pasti akan terpegun melihat pertembungan senibina Islam, Roman Katolik dan Kristian Ortodoks pada sebuah bangunan yang sama.
Bagi mereka yang gemar membeli-belah, Grand Bazaar ialah destinasi yang wajib dikunjungi. Salah satu daripada pasar tertutup yang terbesar dan tertua di dunia, Grand Bazaar menyajikan pelbagai barangan, daripada pakaian hingga perhiasan perak pada harga yang berpatutan.
Dengan lebih 3,000 buah kedai di 60 lorong untuk diterokai, pengunjung pasti rambang mata melihat aneka pilihan barangan untuk dibawa pulang ke Malaysia.
Menerima kunjungan antara 250,000 hingga 400,000 pelawat sehari, kesesakannya memerlukan pelancong asing sentiasa berwaspada daripada menjadi mangsa penyeluk saku.
Perjalanan kaki selama 10 minit dari Grand Bazaar membawa penulis ke sebuah lagi pasar terkenal di Istanbul iaitu Spice Bazaar di Fatih.
Dahulunya terkenal sebagai pusat perdagangan rempah di Istanbul, Spice Bazaar merupakan destinasi terbaik untuk mendapatkan buah-buahan kering dan kekacang, rempah, buah zaitun dan minyak pati terbaik.
Sekiranya anda ke sini, jangan lupa untuk membeli manisan terkenal Turki, Turkish Delight dan makanan lain yang sukar didapati di Malaysia.
Pengangkutan awam
Perjalanan dari satu tempat ke tempat lain dipermudahkan dengan rangkaian pengangkutan awam yang baik di Istanbul. Pelancong boleh bergerak dengan menggunakan tren, bas metro dengan laluan khas dan trem yang telah diintegrasikan pada satu sistem yang sama.
Pelancong juga boleh menaiki teksi, namun jangan terkejut dengan cara pemanduan penduduk di sini kerana mereka lebih 'mahir' memandu berbanding pelakon filem aksi.
Selain itu, pelancong yang ingin ke sini dinasihatkan untuk mempelajari bahasa Turki asas kerana rata-rata masyarakat di sini tidak fasih berbahasa Inggeris.
Menaiki bas menyeberangi Golden Horn melalui Jambatan Galata, penulis menuju ke utara Istanbul dan tiba ke Dataran Taksim, pusat tercetusnya demonstrasi berdarah pada bulan Mei lalu.
Kunjungan penulis 'disambut' dengan kehadiran trak polis dan pasukan anti-rusuhan yang berjaga-jaga untuk menghadapi sebarang insiden yang tidak diingini.
Walaubagaimanapun, keadaan selamat dan tidak menghalang pelancong asing untuk bersiar-siar di situ.
Kawasan Taksim dipenuhi dengan deretan restoran dan pusat beli-belah. Bagi mereka yang ingin merasai suasana malam Istanbul, Taksim dan kawasan sekitarnya adalah satu lokasi yang sempurna.
PENJUAL ais krim ini menarik perhatian pelanggan dengan gayanya yang unik.




Bandar dua benua
Umum mengetahui mengenai keunikan Istanbul yang merupakan sebuah negara yang terletak di dua benua iaitu Eropah dan Asia.
Bosan berjalan di benua Eropah, pelancong boleh menaiki feri menyeberangi Selat Bosphorus ke bahagian Asia dengan bayaran semurah TRY2 (RM3.22).
Dari dek feri, penulis digamit dengan keindahan Selat Bosphorus dan Laut Marmara saujana mata memandang. Kicauan burung camar dan hembusan bayu laut sepanjang perjalanan mewujudkan suasana romantik yang pasti menaikkan keterujaan terutamanya kepada pasangan yang datang untuk berbulan madu.
Tidak banyak tempat untuk dilawati di bahagian Asia kerana kebanyakan kawasan tumpuan terletak di sebelah Eropah.
Ketika berada di benua Asia, penulis sempat mengunjungi Bukit Camlica untuk menikmati pemandangan bandar raya Istanbul dari ketinggian 268 meter dari aras laut.
Terdapat restoran di puncak bukit itu bagi pelancong yang ingin menghayati pemandangan indah sambil menghirup secawan coklat panas.
Sebelum menaiki feri pulang ke benua Eropah, penulis sempat singgah di kafe di pinggiran Laut Marmara untuk menikmati secawan teh Turki, minuman popular bagi penduduk di situ.
Menikmati teh panas sambil melihat matahari terbenam di ufuk barat seolah-olah memisahkan jiwa penulis dengan hiruk-pikuk suasana bandar raya tersebut.
Dalam ketenangan itu, penulis teringat kata-kata Sultan Mehmet II sebelum beliau menakluk kota Istanbul: "Sama ada aku yang menawan Istanbul, atau Istanbul yang akan menawanku."
Tidak mampu menyaingi keteguhan Sultan Mehmet II, penulis terpaksa mengalah kerana hati penulis benar-benar tertawan dengan keajaiban yang disajikan di bumi Uthmaniah ini.


Sumber  : http://www.kosmo.com.my

No comments:

Post a Comment